MELAKA – Tiga ketua UMNO bahagian di Melaka menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu kali ini, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Mustafa Musa.
Beliau berkata mereka ialah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Masjid Tanah), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Kota Melaka) dan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Hang Tuah Jaya).
“UMNO bahagian Jasin pula menyaksikan pertandingan sengit empat penjuru membabitkan penyandangnya Datuk Hasan Abd Rahman dengan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh serta Datuk Mohd Yusof Osman.
“Tangga Batu pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan penyandang Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan Ketua Pergerakan Pemudanya Datuk Rais Yasin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mustafa berkata Alor Gajah juga menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya Datuk Rospandi Leman dan ketua pergerakan pemudanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Fairul Nizam Roslan.
“Kita menjangkakan pertandingan pada kali ini adalah sengit namun pada masa yang sama membuktikan kesuburan proses demokrasi dalam UMNO.
“UMNO bahagian juga diberi kebenaran untuk mengadakan majlis memperkenalkan calon masing-masing selain galakan berkempen menggunakan media sosial namun perlu mematuhi peraturan ditetapkan iaitu tidak memfitnah atau memburukkan calon lain,” katanya.
Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda serta Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Feb ini.
Selain itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. — BERNAMA