Mohammad Sahar Mat Din.

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menyambut baik pengumuman kerajaan yang berhasrat untuk melaksanakan inisiatif Wakaf Madani dalam Belanjawan 2023.

Menurut Presidennya, Mohammad Sahar Mat Din, DPIM berpandangan wakaf berupaya menjadi sektor ketiga ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta pada masa akan datang.

Jelas beliau, bagi menjayakan usaha tersebut, pendekatan wakaf yang selama ini hanya tertumpu dalam bidang hal ehwal keagamaan seperti pembinaan masjid, surau, sekolah-sekolah agama dan tanah perkuburan perlu diberi nafas baru.

Katanya, inovasi terkini dapat membentuk penjanaan ekonomi berkonsep menghimpun kekayaan melalui pembangunan bisnes yang strategik.

“Bagi menjayakan agenda tersebut, kerajaan disaran mengaplikasi model wakaf korporat yang telah terbukti mampu mengubah kaedah pemilikan harta kekayaan daripada pegangan individu dan kerajaan kepada pegangan institusi wakaf kesenjangan (jurang) ekonomi yang berterusan tanpa rencana khusus untuk menanganinya dalam jangka masa panjang, akan terus mengesankan warga yang di bawah.

“Tanggungjawab utama Kerajaan Perpaduan yang inklusif pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya meletakkan perancangan khusus pelan jangka masa panjang yang komprehensif menumpukan kepada membaiki krisis permasalahan yang telah lama berlarutan dan berpanjangan ini.

“Keperluan pendekatan serta naratif Ekonomi Manusiawi yang dicambahkan sendiri oleh Perdana Menteri sebelum ini, berakarkan prinsip karamah insaniah (kemuliaan insan) yang kolektif, holistik dan islamik, perlu bagi menghadapi krisis yang menuntut penyelesaian yang segera kerana hanya kepimpinan yang kompeten dan inovatif serta membawa keberanian reformasi institusi berupaya membawa perubahan politik yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Sahar menambah, masyarakat seluruh dunia amnya dan Malaysia khasnya jelas marah dan membenci himpitan swasta terhadap rakyat bawah iaitu situasi  di mana kelompok kecil individu dan korporat swasta kaya raya menyalah guna kekayaan dan kuasa ekonomi menekan serta menghimpit ke tepi rakyat jelata.

Ujar beliau, budaya itu sebenarnya mengakibatkan ‘private sector crowding out the people’ dan jika dibiar berleluasa dan berlarutan, doktrin penswastaan dan liberalisasi ekonomi pasti meminggir dan menindas warga majoriti, selain menjejas dan melemahkan demokrasi.

“Tambahan pula, dasar penswastaan kepada individu dan doktrin liberalisasi merosakkan ekonomi Melayu-Islam perlu dihentikan kerana ia melemahkan keutuhan sosial dan memecah kebulatan politik Melayu setelah hilang kepercayaan sesama sendiri apabila amanah dan keadilan dikesampingkan.

“Akibatnya, segelintir kelompok kaya raya sedangkan majoriti miskin hanyut ke tepi, tertekan hidup serba kekurangan dan kesusahan.

“Paling merugikan, banyak aset dan bisnes negara diswastakan akhirnya terlepas tangan segelintir kelompok,” katanya.

Mohammad Sahar memberitahu, terdapat beberapa institusi wakaf korporat yang bersedia berkongsi idea dan kepakaran bagi membawa agenda itu ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu ke peringkat Nasional.

Antaranya kata beliau,  AWQAF Holdings Berhad, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan juga Waqaf FELDA yang mempunyai kombinasi jumlah nilai aset dan nilai pasaran melebihi RM1 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast