Temubual SkopMG bersama bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tahun lalu.

Calon Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sayap wanita tidak boleh mensia-siakan peluang untuk menunjukkan suara dan keperluan wanita.

“Untuk itu, kita mesti lantang dan dilihat kehadirannya. Keberadaan itu penting, dan Wanita UMNO tidak boleh memimpin secara senyap daripada sudut bayang-bayang sahaja.

“Pengundi perlu melihat gelombang ‘tudung merah’ ini dalam komuniti mereka untuk mengetahui bahawa kita berdiri bersama mereka, dan untuk mereka,” katanya memetik laporan New Strait Times.

Shahrizat turut berkata, UMNO kini perlu untuk mencari pendekatan lain dan turun semula kepada rakyat bagi mendapatkan semula kepercayaan mereka dan kekal relevan.

Wanita UMNO katanya, mesti berada dalam kedudukannya semula dalam membina kekuatan sayap itu.

“Dalam suasana politik ini, kita tidak mampu untuk berehat.

“Visi saya untuk Wanita adalah bagi mendapatkan semula suaranya, relevannya, dan kekuatannya dalam negara,” kata Sharizat lagi.

Shahrizat secara tidak langsung akan mencabar penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Dalam misi untuk merebut jawatan sayap Wanita itu, Shahrizat berkata beliau berhasrat untuk menamatkan amalan meletakkan calon Wanita UMNO di “kerusi hitam”.

“Jika Wanita UMNO amanahkan saya sebagai ketua mereka, saya komited untuk mengangkat wanita bersama saya.

“Kita mesti memberi peluang kepada wanita untuk mengamalkan kepimpinan, supaya kita tidak perlu lagi mendengar pepatah lama bahawa wanita tidak berpengalaman,” katanya lagi.

Februari lalu, Shahrizat mengesahkan akan bertanding merebut jawatan yang pernah disandangnya itu dalam pemilihan parti akan datang.

Langkah itu sekaligus menamatkan spekulasi berhubung pembabitan beliau dalam arena politik selepas berundur pada 2018. – MalaysiaGazette