KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Tinggi di sini membebaskan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan mengubah laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Beliau melemparkan senyuman ke arah pengamal media yang mengerumuni beliau di pekarangan kompleks Mahkamah Jalan Duta pagi tadi berkata, kemenangan ini amat bermakna buat keluarganya.
”Syukur alhamdulillah, hari ini adalah satu kemenangan kepada bukan sahaja suami saya tapi juga kepada keluarga kami. Saya sempat bertemu dengannya tadi dan beliau amat bersyukur.
“Datuk Seri kata rasa bersyukur, ini adalah satu kemenangan untuk dia. Insya-Allah,” katanya.
Menurut Rosmah, keputusan ini juga memulihkan semangat keluarganya untuk terus berjuang.
“Kita boleh terus berjuang, terima kasih semua,” ujarnya sambil tersenyum.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika membacakan penghakiman secara ringkas berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan.
Mahkamah turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. –
Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette