Para pelajar menunjukkan placard sebagai tanda sokongan mereka terhadap Himpunan Awam Mahasiswa Tuntut Jaminan Kebajikan di hadapan bangunan Canseleri Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2019.

BARU-baru ini, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi berkata, semua institusi pendidikan tinggi diminta memberi kerjasama dan menyokong kebebasan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Literasi dan Kebebasan Berpolitik Pelajar) tanpa sekatan dan halangan. Isu ini telah mendapat perhatian pelbagai pihak hinggakan ada desakan agar AUKU sedia ada dimansuhkan.

Pada 24 Februari lalu, beliau turut memaklumkan kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk memansuhkan akta tersebut dan menyifatkan ia masih relevan terutamanya dalam hal melibatkan urus tadbir universiti. Hal ini kerana kementerian sentiasa terbuka terhadap sebarang cadangan dan pandangan untuk menambah baik akta sedia ada.

Jika kita masih ingat pada 10 Disember 2018 telah berlaku pindaan dalam AUKU 1971 yang membolehkan mahasiswa terbabit dalam aktiviti parti politik di dalam kampus. Pindaan yang berlaku ini jelas menunjukkan bahawa mahasiswa tidak lagi dihalang untuk berpolitik dan mereka dibenarkan untuk berjinak-jinak dengan dunia politik sekaligus meningkatkan literasi mahasiswa terhadap pelaksanaan Undi 18 serta melahirkan mahasiswa yang prihatin dengan sistem pemerintahan negara.

Oleh itu, UniMAP menyokong cadangan kerajaan agar AUKU tidak dimansuhkan tetapi ditambahbaik mengikut peredaran zaman kerana UniMAP komited akan terus meraikan hak kebebasan bersuara mahasiswa sebagai pencetus serta nadi kepada revolusi institusi pendidikan tinggi negara. Ibarat peribahasa Melayu mengatakan “Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah”.

Semua pihak mempunyai peranan yang sama penting, baik staf mahupun pelajar untuk memastikan kegemilangan tadbir urus institusi pendidikan tinggi. Dengan semangat kebersamaan, sama-sama memimpin tangan yang erat, membina dan mengukuhkan keyakinan untuk UniMAP terus maju melangkah kehadapan.

Selari dengan pindaan tersebut, UniMAP telah mengambil pendekatan dengan mewujudkan Dewan Persidangan Mahasiswa UniMAP (PESIMA) yang merupakan pelantar terbaik kepada pemimpin-pemimpin mahasiswa UniMAP untuk membentang dan membahaskan usul yang merangkumi lima kluster iaitu Kluster Akademik, Kluster Aktiviti Pelajar, Kluster Pengurusan dan Pentadbiran, Kluster Kebajikan dan Kluster Lain-lain. Malah PESIMA dilihat sebagai medan terbaik untuk melahirkan golongan intelek muda yang matang dan berwawasan. UniMAP turut memberi hak kepada wakil pelajar untuk membawa dan mengetengahkan isu-isu pelajar bersama-sama dengan pihak pengurusan tertinggi universiti melalui mesyuarat Senat.

Dalam Amanat Naib Canselor baru-baru ini, UniMAP telah mengambil pendekatan dengan memantapkan kepimpinan dan pembangunan bakat mahasiswa. Mulai tahun 2023, semua pengurusan, penganjuran dan hal ehwal kewangan aktiviti pelajar, yang diperuntukkan sebanyak RM100 ribu setahun akan diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri.

Kebertanggungjawaban ini akan membantu mahasiswa untuk lebih matang dan memahami hakikat bahawa dengan kebebasan, harus ada akauntabiliti. Jadi, tiada istilah “Pak Turut” wakil pelajar kepada pentadbiran universiti malah ruang dan peluang yang luas telah disediakan oleh UniMAP kepada mahasiswa universiti dalam memperjuangkan kebebasan bersuara serta menonjolkan aspek kepimpinan di kalangan mahasiswa.

Malah, ketika Bengkel Pemerkasaan Mahasiswa di Pulau Pinang anjuran Bahagian Governan IPTA (BGA) Jabatan Pendidikan Tinggi pada 26 hingga 27 Februari baru-baru ini yang dihadiri Timbalan-timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) Universiti Awam (UA) dan Penasihat Undang-undang UA, beberapa perkara utama telah dibincangkan iaitu pengendalian aspek kewangan sepenuhnya oleh mahasiswa tanpa perlu melalui proses Bendahari UA namun ia haruslah menurut tatacara kewangan universiti dan perlu diteliti sekiranya pindaan mengenainya dalam AUKU.

Di samping itu, keahlian mahasiswa dalam Jawatankuasa Tatatertib juga dibincangkan kerana ada beberapa risiko perlu dipertimbangkan dan perlu melalui siri penerangan dan pencerahan kepada mahasiswa mengenai hal berkenaan. Secara amnya, KPT dan UniMAP khususnya tidak memberi halangan aktivisme politik dalam kalangan pelajar dan pengurusan universiti ini akan memberi kerjasama dan menyokong kebebasan berkenaan tanpa sekatan dan halangan malah sejak tahun lalu, UniMAP telah menyusun program pendidikan pengundi dalam kalangan mahasiswa sebagai menyokong inisiatif Undi 18 termasuk menubuhkan Sekretariat Undi 18 UniMAP dengan kerjasama Sekretariat Rukun Negara (SRN) UniMAP.

Dr. Zaliman Sauli

 

Oleh: Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli
Naib Canselor UniMAP