Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr. Mahathir Mohamad diberikan borang keahlian parti PUTRA oleh Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali (kanan) selepas sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Desas desus mengatakan bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal dilantik Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hanya akan diketahui pada 7 Mei ini.

Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali ketika dihubungi Malaysia Gazette berkata, beliau sendiri tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

“Saya baru dengar desas desus ini. Tidak ada dalam pengetahuan saya, tetapi sebagai parti demokratik, saya tidak ada halangan kalau ada pemilihan dan pelantikan baharu.

“Namun, ianya perlu melalui suara majoriti Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra dan jika ada pencalonan nama Dr. Mahathir daripada sayap parti.

“Tarikh 7 Mei ini adalah Persidangan Agung Putra. Di situ kita akan tahu sama ada Dr. Mahathir sebagai Presiden atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah media bahawa Mahathir yang telah sah me­nyertai Putra bakal mengambil alih kepemimpinan parti itu dan dilantik sebagai Pre­siden menerusi rombakan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Laporan itu menyatakan, Ibrahim akan menyerahkan jawatannya dan kini sedang menyusun atur untuk memastikan peralihan jawatan kepemimpinan yang baharu.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, jika Mahathir bersedia memikul tanggungjawabnya sebagai Presiden Putra, beliau tidak ada masalah, malah mengalu-alukan.

Bagaimanapun, katanya, mesti ada pencalonan dibuat bagi membolehkan pemimpin unggul itu memegang jawatan berkenaan dalam parti Putra.

“Memandangkan Tun M ahli Putra, dia dan sesiapa sahaja ahli yang sah boleh dicalonkan sebagai presiden. Ini terserah kepada perwakilan di peringkat bahagian untuk mencalonkannya.

“Dan, terpulang juga kepada Dr. Mahathir untuk terima atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. X payah ssh² nk lantik dia nt dtg angin kus kus dia letak jawaran pulak..lantik jd opis boy jer lah..x pun jd runner jer

Comments are closed.