Kejadian samun di sebuah kediaman di Taman Sri Andalas, Klang semalam oleh empat suspek bersenjata parang.

KUALA LUMPUR – Tiga sekeluarga termasuk seorang warga emas melalui detik cemas apabila sekumpulan penyamun bersenjata parang dan bertopeng hitam memecah masuk rumah banglo mereka, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan laporan, penyamun yang terdiri daripada empat suspek yang menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran dipercayai palsu, telah berhenti di hadapan rumah tersebut kira-kira jam 8.45 pagi.

Mereka yang memakai topeng muka, bersarung tangan dan bersenjata parang telah memasuki rumah tersebut melalui pintu hadapan.

Menurutnya, suspek telah mengarahkan kesemua mangsa duduk di dalam bilik utama sambil diawasi oleh dua orang suspek.

“Salah seorang suspek bertindak mengambil rantai leher yang dipakai oleh dua orang mangsa manakala suspek lain menyelongkar bilik dan bag tangan sebelum melarikan diri melalui pintu hadapan dengan menggunakan kenderaan yang sama.

“Hasil semakan mendapati beberapa jenis barang kemas anggaran lebih kurang RM24,000.00, wang tunai anggaran RM800 dan sebuah telefon bimbit jenis Iphone telah hilang. Keseluruhan kerugian lebih kurang RM25,000.00,” katanya.

Seorang mangsa mengalami kecederaan di jari kelingking kiri akibat menahan pintu semasa suspek cuba masuk ke dalam rumah.

Tambahnya,Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah hadir ke lokasi kejadian sebelum hasil pemeriksaan rumah telah berjaya menjumpai beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebat.

Pihak polis kini masih giat mengesan suspek-suspek terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette