Syamer Kutty Abba. Foto Facebook JDT.

KUALA LUMPUR – Kelibat pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba ketika menentang KL City mencuri perhatian selepas hampir lapan bulan tidak dapat beraksi ekoran baharu pulih dari kecederaan ligamen lutut (ACL)

Dia dimasukkan selaku pemain gantian pada pertengahan babak kedua dan berjaya membantu barisan tengah JDT menangani kebangkitan yang cuba dijelmakan tuan rumah.

Beliau mahu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor dan pasukan perubatan yang banyak membantunya untuk pulih 100 peratus dari kecederaan ACL.

“Syukur saya dapat bermain balik hari ini dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada kelab JDT yang memberikan rawatan perubatan terbaik.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Tengku Mahkota Johor yang banyak memberikan sokongan moral kepada saya sepanjang masa.

“Pulih kecederaan ACL ini bukan satu perkara yang mudah dan saya gembira dapat beraksi dengan baik walaupun ada kekok pada mulanya namun melalui sokongan jurulatih serta rakan sepasukan, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Pada perlawanan kelmarin, JDT membelasah tuan rumah 3-0 untuk kemenangan kali kedua berturut-turut. – MalaysiaGazette