KUALA LUMPUR – Dengan berbekalkan slogan ‘Hebatkan Pemuda’, calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah bertekad memastikan sayap itu sentiasa berada di barisan hadapan dalam mempertahankan parti daripada serangan musuh.
Beliau juga akan memastikan laungan ‘Hebatkan Pemuda’ difahami di seluruh peringkat sama ada di dalam atau luar parti.
“Hebatkan Pemuda akan lebih dinamik dan progresif tanpa meninggalkan asas kekuatan UMNO. Kembalikan perjuangan yang sederhana yang diterima oleh rakyat.
“Hebatkan Pemuda akan pastikan menerap semangat Harimau Perjuangan UMNO yang berani, digeruni, ikhlas dan dihormati oleh parti mahupun pihak lawan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Armand Azha dan tiga lagi calon lain iaitu Datuk Mohd. Shahar Abdullah, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Meor Hassan Mat Ali akan bertanding untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada 11 Mac ini.
Beliau turut mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap sayap itu antaranya penaziran kekuatan Pemuda UMNO bahagian setiap tiga bulan, program bersepadu di setiap bahagian secara berkala dan mewujudkan Koperasi Pemuda Malaysia termasuk di bahagian untuk aktiviti ekonomi mampan.
Cadangan lain adalah meningkatkan jalinan hubungan dengan institusi berdaftar melibatkan pendidikan formal dan tidak formal termasuk kemahiran serta menyediakan rangka kerja untuk anak muda yang berpotensi.
Armand Azha juga berhasrat mewujudkan institut pemikir Muda dalam kalangan korporat muda untuk memimpin kemajuan industri desa dan bandar anak muda setiap bahagian dan cawangan.
Beliau turut mencadangkan satu dana khas anak muda diwujudkan agar bantuan dapat disalurkan segera dan Akademi Kapten Hussein ditubuhkan kembali.
Selain itu, Armand Azha mahu Pemuda UMNO melahirkan tokoh muda berwibawa kental dan memperjuangkan hak orang Melayu serta bercakap benar dan ampuh.
“Paling utama persediaan gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















