Foto: FB Onn Hafiz Ghazi.

JOHOR BAHRU – Selain banjir Chaah di Segamat, juga mengalami isu tiada bekalan air bersih susulan paip utama yang hanyut dan pecah akibat arus deras.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, punca ketiadaan air, disebabkan paip utama di Jambatan Sungai Chaah yang hanyut dan pecah akibat arus deras.

“Ia sekali gus mengakibatkan gangguan kepada 3,962 akaun dari Chaah hingga ke Kampung Sungai Haji Kamisan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turun sendiri ke lokasi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Bekok Tan Chong dan Pegawai Daerah Segamat Masni Wakiman, untuk mendengar taklimat daripada Ranhill SAJ semalam mengenai isu tersebut

“Ranhill SAJ memaklumkan kerja-kerja pembaikan di tahap 40 peratus dan dijangka siap pagi ini.

“Sementara itu, lori-lori tangki air Ranhill SAJ akan menyalurkan bekalan air ke kawasan yang terjejas,” kata Onn Hafiz, yang turut menzahirkan terima kasih kepada Ranhill SAJ dan semua pihak yang komited bagi memastikan bekalan air bersih akan kembali disalurkan,” kata beliau.

Pada hantaran Facebook berasingan pula, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas khabar gembira daripada Perdana Menter,i Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang telah meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir serta keperluan lain yang mendesak.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selango,r Datuk Seri Amirudin Shari, kerana menggerakkan bantuan segera kepada Johor.

“Semoga usaha yang diambil kerajaan negeri dan persekutuan, dibantu agensi-agensi, syarikat-syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor, akan diberkati Allah SWT.

“Saya mendoakan agar kita semua cekal dalam menghadapi ujian ini. Insya-Allah kita akan dapat melalui tempoh yang serba mencabar ini,” kata beliau.

Johor kini mencatatkan jumlah mangsa seramai 37,322 orang setakat 8 pagi ini melibatkan sembilan daerah dengan pembukaan 238 pusat pemindahan sementara (PPS). – Bernama