Foto IG Mentega Terbang.

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penulis skrip filem kontroversi, Mentega Terbang iaitu Mohd Khairi Anwar Jailan menafikan filem iterbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment itu bertujuan mempersenda agama Islam seperti didakwa penulis, Zabidi Mohamed.

Justeru dalam satu kenyataan dalam Instagram (IG) yang mewakili produksi Mentega Terbang, mereka mengemukakan notis tuntutan bertajuk ‘Fitnah Terhadap Penerbit, Direktor Dan Penulis-Penulis Skrip Filem Mentega Terbang’ dan dihantar kepada Zabidi pada 3 Mac lalu.

Notis yang dibuat menerusi peguam dilantik, Daim & Gamany Advocates & Solicitors itu turut mendakwa penulisan Zabidi adalah tidak benar, berniat jahat dan fitnah, selain bertujuan menjejaskan imej, reputasi serta kredibiliti untuk mendatangkan kutukan dan ancaman.

“Kami merujuk kenyataan dibuat Zabidi dalam laman Facebook pada tarikh 25 Februari, 2 Mac dan 3 Mac yang tersebar secara meluas sejak beberapa hari lalu.

“Kami dengan tegas menafikan sebarang dan semua bentuk dakwaan bahawa filem Mentega Terbang sama sekali berusaha untuk menghujat, mengkufur dan berhasrat untuk mewujudkan budaya murtad dalam kalangan orang Islam seperti didakwa Zabidi,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di IG @mentegaterbangmovie.

Mohd. Khairi turut menjelaskan, pihaknya menuntut Zabidi memadam kenyataan disifatkan berbaur fitnah itu, selain membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Kami mengarahkan peguam membuat tuntutan daripada Zabidi supaya memadamkan kenyataan dan memohon maaf secara terbuka atas kenyataan fitnah dibuat terhadap saya dan pasukan filem Mentega Terbang,” katanya.

Selain Mohd Khairi, empat lagi individu yang terbabit dalam penghasilan filem Mentega Terbang iaitu Tan Meng Kheng, T Arjun, R Vishnuvarman dan Ti-Teng Hui turut menafikan setiap dakwaan dilemparkan Zabidi.

Terdahulu, Zabidi menerusi hantaran dalam Facebook (FB) bertarikh 25 Februari lalu menyatakan: “Filem ini menghina, meremeh, merendah-rendahkan, menodai dan mempersenda Islam secara terang-terangan (blasphemy).”

Pada hantaran bertarikh 2 Mac lalu, Zabidi menyatakan: “Saya sudah menontonnya hingga habis dan dapatan saya filem ini secara terang-terangan dan buka lagi secara halus atau ‘subtext’ adalah satu usaha terancang untuk memurtadkan umat Islam di Malaysia dan sasaran adalah remaja sekolah.”

Sejak minggu lalu, filem Mentega Terbang tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan agama Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anaknya memilih agama, yang mana perbuatan itu bertentangan dengan agama Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast