Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa (tengah) melawat ke ruang pameran selepas Majlis Perasmian Serdang ‘Hart Diseases In Pregnancy Symposium’ (SHe-DIPs 2.0) di Hospital Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 04 MAC 2023.

SERDANG – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di Johor yang kini dikuarantin di hospital.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, satu kes dikesan di Segamat manakala satu lagi di Kluang.

“Pihak berkuasa juga memantau kemungkinan kes leptospirosis dan denggi serta penyakit biasa lain yang meningkat semasa banjir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium ‘Serdang Heart Diseases In Pregnancy’ (SHE-DIPs 2.0), di sini, hari ini.

Dalam pada itu Dr Zaliha berkata, sebanyak 18 klinik kesihatan di Johor terjejas akibat banjir termasuk kerosakan peralatan perubatan.

Katanya, klinik-klinik kesihatan yang terjejas iaitu 11 di Segamat manakala yang lain-lain di Tangkak, Batu Pahat dan Kota Tinggi.

Ujarnya, KKM telah menggerakkan petugas dan kemudahan perubatan dari pusat kesihatan di ke kawasan yang dilanda banjir di negeri itu susulan akses ke kawasan tertentu telah terputus hingga menyukarkan mobilisasi dari negeri lain.

“Keadaan banjir agak teruk di Johor dan banyak pusat pemindahan sementara telah didirikan.

“Ada antara pusat pemindahan sementara itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana banjir tiba-tiba naik dengan beberapa kawasan yang terjejas tidak pernah dilanda banjir sejak 17 tahun lalu.

“Kami telah menggerakkan pasukan dari kawasan berhampiran seperti Muar dan Tangkak ke Chaah dan Segamat untuk membantu. Bagaimanapun, akses telah dipotong dan pasukan terpaksa bersiap sedia.

“Kemudahan klinik di negeri ini terjejas dan kita kehilangan beberapa peranti Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, pihaknya juga cuba untuk menghantar pasukan perubatan dari Selangor namun, usaha itu menemui halangan kerena mereka tidak dapat masuk akibat banjir.

“Sebarang keadaan darurat akan dicadangkan dari peringkat negeri dahulu. Bantuan persekutuan akan diberikan sekiranya negeri meminta.

“Bagaimanapun, banyak agensi kerajaan telah mula membawa masuk bantuan dari negeri lain untuk membantu mangsa banjir yang terus meningkat,” katanya.

Sehingga semalam, jumlah mangsa banjir terus meningkat dengan hampir 36,000 orang dipindahkan ke kira-kira 260 pusat pemindahan sementara di seluruh negara.

Johor merupakan negeri yang paling teruk terjejas dengan lebih 32,000 mangsa diikuti Pahang (1,844), Negeri Sembilan (1,061), Melaka (99) dan Sarawak (43). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast