Mohamad Fazli Mohamad Salleh menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Dewan Serbaguna Pagoh.

PAGOH – Sebanyak 120 pencawang elektrik (PE) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terjejas dalam kejadian banjir di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, banjir ketika ini bukan sahaja merosakkan harta benda orang awam, malah turut menjejaskan bekalan elektrik di sesetengah kawasan.

“Terdapat 120 PE milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah terlibat banjir di seluruh negeri Johor antaranya di Segamat, Kluang, Muar, Batu Pahat dan Kota Tinggi.

“TNB perlu memutuskan bekalan elektrik di PE ini bagi tujuan keselamatan bukan sahaja pengguna malah sebagai langkah memelihara aset mereka bagi mengelakkan bencana yang lebih besar daripada berlaku,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Dewan Serbaguna Pagoh hari ini.

Mohamad Fazli berkata, setakat semalam, bekalan elektrik di 70 PE telah disambung semula manakala 50 PE lagi masih belum menerima bekalan sepenuhnya.

Kata beliau, antara kawasan yang masih belum menerima bekalan elektrik adalah di beberapa kawasan dalam Caah, Bukit Kepong, Yong Peng, Parit Sulong, Kluang, Endau, Ayer Hitam, Tongkang Pechah, Bukit Siput dan Kota Tinggi.

“Diharapkan semua pihak yang terlibat dapat bersabar dan sebarang kesulitan amat dikesali.

 “Anggota kerja TNB serta kontraktor yang terlibat sedang bekerja keras bagi memulihkan semula bekalan elektrik khususnya kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan premis-premis penting seperti klinik dan hospital,” kata beliau.

Sementara itu, tinjauan Media Digital Johor ke halaman Facebook TNB Careline, hari ini, mendapati 48 kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik setakat jam 7 petang semalam.

Sebanyak enam kawasan di Segamat diikuti tiga di Muar, 27 di Batu Pahat, empat di Mersing, dua di Pontian, dua di Kluang serta 10 di Kota Tinggi.

TNB Careline mamklumkan usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

Selain itu, orang ramai diingatkan agar elak daripada memijak kawasan yang berair jika terdapat talian elektrik putus atau jatuh di atas tanah atau dalam air.

Malah orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir, dan menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus.- MalaysiaGazette