Keadaan banjir yang masih belum surut berikutan hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Kampung Paya, Yong Peng, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 04 MAC 2023.

JOHOR BAHRU – Operasi khas di kawasan kritikal banjir di negeri ini dijalankan bagi membantu mangsa di kawasan terlibat, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau telah memanggil mesyuarat koordinasi gerak kerja bersama pegawai-pegawai Daerah dan agensi-agensi di Bilik Gerakan Bencana Banjir Negeri Johor, malam tadi.

“Operasi khas di kawasan yang kritikal sedang dan akan diteruskan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Permasalahan dan solusinya juga diputuskan semasa mesyuarat ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Beliau berkata memandangkan Johor telah menerima laporan awal dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tentang kemungkinan gelombang baharu susulan amaran hujan lebat tahap bahaya di beberapa daerah, adalah menjadi tekad kerajaan negeri agar persiapan dan penyelarasan sewajarnya dilakukan.

“Mohon semua rakyat Johor untuk sama-sama memohon doa agar Allah SWT mengangkat musibah ini, dan semoga ada sinar di sebalik bencana banjir ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Machap itu.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri serta semua agensi terlibat yang bekerja siang dan malam membantu mangsa banjir.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) Datuk Noh Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Kesukarelawanan) Datuk On Jabbar@Jaafar serta pegawai-pegawai daerah dan wakil agensi-agensi terlibat.

Setakat 4 pagi tadi, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 44,860 orang di kesemua 10 daerah di negeri ini dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas dengan 14,030 mangsa. – BERNAMA