PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barang kawalan khususnya ayam dan telur mencukupi bagi menampung permintaan tinggi menjelang Ramadan ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memastikan bekalan barang kawalan itu mencukupi.
“Setelah minggu lepas, data-data daripada Kementerian Pertanian menunjukkan kita bersedia untuk ke arah mencukupkan bekalan menjelang hari raya.
“Maklumlah bekalan ini turun naik, jadi bekalan ayam itu telah stabil dan kita kena perhatian agar telur juga akan cukup menjelang hari raya ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada 25 Februari lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melahirkan keyakinan masalah kekurangan bekalan telur dan ayam menjelang Ramadan ini, dapat diatasi susulan program pemutihan lebih 200,000 pekerja asing yang giat dilakukan sejak bulan lalu.
Mohamad berkata, ini kerana masalah kekurangan tenaga buruh terutamanya dalam sektor perladangan dan penternakan menjadi antara punca krisis bekalan bahan mentah itu berlaku di negara ini. – MalaysiaGazette
















