Pasukan JSJ IPD Kangar, IPK Perlis serta pasukan forensik di lokasi kejadian seorang wanita ditembak mati oleh suaminya seorang anggota berpangkat lans koperal dalam kejadian di Kangar Perlis awal pagi tadi. Foto: IPD Kangar.
KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang ditahan polis kerana disyaki menembak mati isterinya awal pagi semalam di Simpang Empat, Perlis ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya dalam proses mengambil keterangan daripada suspek yang berusia 27 tahun dan ahli keluarga mangsa.

“Reman berjaya diperolehi untuk suspek selama tujuh hari mulai 6 hingga 12 Mac ini.

“Reman dipohon ke atas suspek di Hospital Tuanku Fauziah Kangar kerana semasa tangkapan dibuat semalam, suspek tidak memberi kerjasama yang baik dan hanya berdiam diri serta tiada sebarang komunikasi.

“Jadi kita hantar dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan nasihat pegawai perubatan jika ada sakit-sakit tertentu. Setakat ini masih belum ada keputusan rawatan ke atas suspek,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lans Koperal tembak mati isteri

Semalam, Yusharifuddin mengesahkan seorang wanita berusia 26 tahun mati ditembak oleh suaminya, seorang anggota plis berpangkat Lans Koperal, yang bekerja di Ibu Pejabat Kontinjen Perlis di rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar.

Katanya, pasukan polis yang menerima laporan daripada abang mangsa menyerbu rumah tersebut sebelum menahan suspek san merampas pistol jenis Walter P99 yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa.

Dalam kejadian tersebut, suspek dipercayai melepaskan lima das tembakan ke arah mangsa.

Menurut Yusharifuddin, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast