logo mahlamah

SHAH ALAM – Mahkamah Shah Alam hari ini menangguhkan pertuduhan ke atas seorang warga asing yang didakwa terlibat kes bunuh, kerat dan sumbat mayat rakan sekerjanya dalam bagasi.

Majistret Sasha Diana Sabtu kemudian menangguhkan 7 April ini untuk pertuduhan kerana tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Baghwant Singh meminta mahkamah melantik seorang jurubahasa bagi membaca pertuduhan itu dalam bahasa Nepal.

Sebelum ini, polis dilaporkan telah menahan 15 warga asing susulan siasatan terhadap kes bunuh seorang lelaki berusia 48 tahun yang mayatnya dikerat serta disimpan dalam bagasi sebelum dibuang dekat Kilometer 447, Lebuhraya Utara Selatan, di Rawang pada pertengahan Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan enam daripada mereka berusia 24 hingga 30 tahun dipercayai terlibat dalam pembunuhan terbabit, bagaimanapun seorang daripada mereka masih bebas.

Beliau berkata, hasil siasatan polis terhadap kesemua suspek yang ditahan mendapati motif pembunuhan mangsa berusia 48 tahun adalah kerana dendam peribadi.

Katanya, suspek dan mangsa adalah rakan sekerja sebagai pengawal keselamatan pangsapuri di Sungai Buloh.

Tambahnya, mangsa dibunuh dan dikerat di sebuah bilik stor pangsapuri tempatnya bekerja oleh rakan senegara. – MalaysiaGazette