menu rahmah
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Inisiatif seperti Menu Rahmah dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang membekalkan makanan siap pada harga RM2 bukan sahaja memberi pilihan yang murah kepada pengguna, malah mendorong persaingan yang lebih segar di pasaran.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mutu inisiatif tersebut sudah pun mula dilihat.

“Sebagai contoh, inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi komponen Makanan di Luar Rumah telah mereda buat pertama kali sejak Ogos 2021, daripada 9.6 peratus pada Disember 2022 ke 9.3 peratus pada Januari 2023.

“Kerajaan akan memastikan kesinambungan usaha sebegini agar terus meringankan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kadar inflasi Malaysia pada Januari 2023 terus menyederhana kepada 3.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas, seperti yang diumumkan Jabatan Perangkaan pada 24 Februari.

Sebagai perbandingan, kadar inflasi pada Disember lalu adalah 3.8 peratus diikuti 4 peratus pada November dan Oktober manakala September mencatatkan 4.5 peratus dan Ogos 4.7 peratus.

Rafizi berkata, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi Januari 2023 adalah 0.2 peratus, berkadaran sama dengan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Kenaikan inflasi bagi bulan Januari 2023 masih didorong oleh peningkatan kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol, namun ia telah menyederhana kepada 6.7 peratus, berbanding 6.8 peratus pada bulan sebelumnya.

“Dua lagi kumpulan dalam kelompok tiga wajaran tertinggi turut menyederhana atau mencatatkan kadar yang sama, iaitu Kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (kekal 1.5 peratus) dan Kumpulan Pengangkutan yang mereda kepada 4.0 peratus berbanding 4.9 peratus pada bulan sebelumnya,” jelasnya.

Beliau menambah, Kementerian Ekonomi juga meneliti kenaikan harga barang sewaktu musim Tahun Baharu Cina di mana pertumbuhan bulan ke bulan pada 2023 (0.2 peratus) adalah rendah berbanding 2021 (0.3 peratus) dan 2022 (0.24 peratus).

Rafizi berkata, perkara itu amat menggalakkan kerana ia membuktikan bahawa Malaysia telah berjaya meredakan kadar kenaikan harga di samping kekangan rantaian bekalan global dan lonjakan permintaan bermusim.

“Di samping itu, Program Penyeragaman Harga (PPH) diteruskan oleh kerajaan bagi menyeragamkan harga tujuh barangan asas yang terlibat iaitu beras putih, gula, minyak masak 1 kilogram, tepung gandum, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel.

“Langkah itu bagi memastikan bekalan barangan tersebut sampai kepada penduduk di kawasan luar bandar/pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan program itu akan membolehkan semua rakyat membeli barangan keperluan pada harga yang seragam.

“Bagi menstabilkan harga makanan pada paras yang mampu beli, kerajaan sedang menggunakan strategi pelbagai serampang yang mempengaruhi seluruh rantaian makanan, daripada bahan mentah sehinggalah ke makanan di luar rumah,” jelasnya.

Rafizi memberitahu, tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan akan berterusan dengan pembangunan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara, demi menyuntik keanjalan harga dan bekalan. – MalaysiaGazette