Temubual eksklusif bersama anak bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Mohd Najib di Pavillion Residence Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pemilihan UMNO 2023-2026 menjadi platform terbaik mengubah persepsi masyarakat bahawa parti ini tidak mesra anak muda.

Calon Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nooryana Najwa Najib berkata, parti itu sudah mula memberi peluang kepada generasi muda untuk memegang jawatan lebih tinggi di peringkat cawangan dan bahagian menerusi pemilihan UMNO yang diadakan.

“Mereka yang sudah lama berkhidmat sedia melepaskan jawatan kepada anak muda di mana senior ini bertanding pula pada peringkat lebih tinggi.

“Contohnya, kalau ahli Puteri sudah sampai waktunya, mereka akan bertanding jawatan Naib atau Ahli Jawatankuasa Wanita pula,” katanya menerusi program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette.

Nooryana, anak kepada Datuk Seri Najib Razak ini turut mengakui bidang politik bukanlah baharu buatnya, cuma kali ini beliau benar-benar bersedia memasuki gelanggang.

“Saya dan politik sudah lama, sejak kecil lagi. Saya diajar oleh ayah secara tidak langsung mengenai selok-belok politik.

“Belajar pun dalam jurusan ini juga, kerana itu sekarang saya sudah benar-benar bersedia selepas turun padang ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 lalu,” ujarnya.

Jelasnya, perubahan harus diteruskan bagi memastikan parti itu akan lebih dipercayai khususnya golongan muda.

“Angin perubahan sedang berlaku dan kempimpinan sedia ada juga bersedia memberi laluan kepada anak-anak muda.

“Dalam sesebuah organisasi, kita harus bekerjasama di antara mereka yang berpengalaman dan anak-anak muda,” tambahnya lagi.

Katanya lagi, kepimpinan berpengalaman ini harus menjadi contoh dan perlu sama-sama membantu golongan pelapis muda dalam mencorak pelbagai keputusan dalam parti.

“Saya fikir, anak-anak muda sekarang banyak yang mempunyai idea bernas serta perkongsian ilmu serta hala tuju yang sama bagi memastikan UMNO terus mendapat sokongan ramai.

“Ketepikan ego dan kepentingan diri kerana yang paling mustahak sekarang adalah idea kita boleh diterima dan diaplikasikan untuk parti.

“Pemilihan ini adalah proses demokrasi dan dilakukan dalam suasana kekeluargaan,” tambahnya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini menambah, perbezaan pendapat itu biasa serta mengakui menang kalah itu adat pertandingan.

“Saya bertanding dengan semangat melihat parti ini diterima semua. Anak muda harus bersama UMNO untuk lebih cemerlang,” ujarnya.

Pemilihan UMNO yang bermula awal Februari lalu akan memperlihatkan perebutan jawatan-jawatan penting di peringkat pusat, bahagian dan cawangan.

Pada 11 Mac ini, pengundian satu bahagian satu undi akan dijalankan bagi memilih barisan kepimpinan baharu untuk peringkat tiga sayap Wanita, Puteri dan Pemuda, manakala 18 Mac bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 25 ahli Majlis Kerja Tertinggi. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. anak muda nak presiden yang baru yang lebih berkaliber, bukan wak jahid yg gila kuasa

Comments are closed.