Sivakumar siasatan
V. Sivakumar

KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius penghijrahan golongan cerdik pandai  di negara ini ke luar negara.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, Malaysia merekodkan penghijrahan cendikiawan sebanyak 5.6 peratus daripada keseluruhan penduduk dalam negara.

Angka itu, katanya, lebih tinggi daripada kadar purata 3.3 peratus di peringkat global.

“Kalau dilihat dari konteks yang lebih mikro, jumlah 5.6 peratus itu sebanyak 1.86 juta daripada 33 juta populasi warganegara.

“Daripada jumlah itu, seramai 1.13 juta rakyat Malaysia bekerja di negara jiran, Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu Brain Drain (penghirahan cerdik pandai) dalam sesi dialog Malaysia Madani: Menangani Cabaran Dalam Ekosistem Bakat, yang dianjurkan oleh Talent Corporation (TalentCorp), hari ini.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar (tengah) bersama ahli kumpulan TalentCorp.

Selain Singapura, diaspora memilih untuk berhijrah ke  Bangladesh, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Brunei.

Usaha untuk membawa balik mereka bukan mudah dan memerlukan jangka panjang.

Lantaran itu timbul bagaimana hendak membawa mereka pulang dan apakah cara terbaik untuk menarik mereka kembali ke sini.

“Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan seharusnya kita biarkan sahaja, kerana ini penghijrahan diaspora adalah satu norma, ia berlaku di mana-mana termasuk negara maju.

“Ada yang menyatakan ada baik juga kalau mereka keluar ke negara lain untuk mencari pengalaman beberapa tahun dan menimba ilmu, kembali bekerja ke negara dan mendapat idea yang lebih produktif untuk negara,” katanya.

Semuanya terserah kepada Kementerian Sumber Manusia dan Talent Corp untuk menangani isu ini, ujar beliau. – MalaysiaGazette