KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam tentang usaha Perikatan Nasional (PN) menjatuhkan kerajaan menghangatkan Dewan Rakyat hari ini.
Ia bermula apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (Pakatan Harapan) ketika sesi perbahasan Bajet 2023 memetik kenyataan Abdul Hadi dengan membawa salinan laporan berita sebuah akhbar.
Katanya, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu menyalahi undang-undang dan perlu disiasat di bawah Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Rayer menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri menyiasat Abdul Hadi atas kenyataannya itu.
“Sesuatu yang saya baca di surat khabar hari ini yang mengejutkan saya, kenyataan YB Marang saya lihat bahawa setelah kita melalui dua, tiga tahun ketidakstabilan politik, pilihan raya umum diadakan dan setelah itu satu minggu kita lalui ketidakstabilan berlaku.
“Kita berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong di mana ketika itu Tuanku meminta kedua-dua belah pihak mengadap. Tuanku nasihatkan di sebelah sana (PN) dan BN memulakan kerajaan perpaduan.
“Kita lihat selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, ada YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) keluar mengatakan mereka tidak rela bersama-sama Kerajaan Perpaduan tetapi hari ini dilaporkan, YB Marang dalam Dewan Rakyat menyatakan pihak sebelah sana merancang untuk menjatuhkan kerajaan ini.
“Saya sekarang menuntut supaya Menteri Dalam Negeri menyiasat perkara ini kerana perkara ini merupakan menyalahi undang-undang Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 124 (B), barang siapa dengan apa-apa cara secara langsungatau tidak melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen hendaklah dihukum dengan pemenjaraan sehingga tempoh 20 tahun,” katanya.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki (PN) kemudiannya berdiri membangkang kenyataan Rayer.
Dalam masa yang sama beliau menggesa supaya Ahli Parlimen Jelutong itu menarik balik kenyataannya yang dianggapnya sebagai sangkaan jahat.
“Peraturan Mesyuarat 36(6), seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat kepada sesiapa ahli lain. Tadi YB sebut YB Marang sedang merancang ini suatu sangkaan jahat. YB hanya buat kenyataan politik, dia tidak merancang pun, beliau bercakap dengan melihat perkembangan yang ada.
“Minta tarik balik. YB Marang tidak bermaksud pun begitu,” tegasnya.
Dewan Rakyat kemudian bingit apabila Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (PH) tampil mempertahankan Rayer.
Ahli Parlimen Jelutong itu tetap mempertahankan kenyataannya dengan pendirian apa yang telah disuarakan Hadi berisiko mencetuskan kebimbangan rakyat.
“Saya risau kerana saya memohon perkara ini diberi perhatian rakyat tidak boleh merana kalau berlaku sesuatu yang dirancang oleh pembangkang saya mohon Marang supaya tidak derhaka,” tambahnya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kemudian meredakan kekecohan dengan menasihatkan wakil rakyat yang terlibat agar tidak mengeruhkan keadaan.
“Jangan panas dalam dewan, saya minta. kalau panas YB berehat sekejap,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor (PN) mencabar supaya Rayer mengemukakan bukti dan membuat laporan polis demi mempertahankan kenyataannya itu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Besut (PN), Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang menyokong Misbahul berkata, Presiden Pas itu tidak bermaksud bahawa wujud rancangan menggulingkan kerajaan sebaliknya ia berdasarkan situasi semasa.
“Besut (PN) apa-apa soalan tidak boleh dibangkitkan berkenaan betul atau tidak perenggan-perenggan dalam surat khabar atau mengenai dirinya sendiri berdasarkan Peraturan Mesyuarat 23(i) berdasarkan perenggan. Apa yang Marang maksudnya atap bocor, dinding pecah, tunggu masa PN nak memerintah pula. Itu saja,” beliau berkata.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Hadi supaya menjaga kata-kata dan mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang menyinggung kedudukan Majlis Raja-raja dan Sultan Melayu.-MalaysiaGazette