Jagdeep.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menggunakan sistem pengurusan sisa pepejal paling moden dari negara-negara maju terpilih bagi pengoperasian di Sel 2 tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di Nibong Tebal.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengambil alih 100 peratus pengurusan sisa pepejal di Sel 1 Fasa 3 Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung daripada firma operator bukan kerajaan sejak Ogos tahun lalu dengan jangka hayat penggunaan kawasan petak tersebut sehingga awal tahun 2024.

“Kita memerlukan masa 12 bulan dengan kos hampir RM46.5 juta untuk Sel 2 selain akan selaraskan Cadangan Pembangunan (RFP) untuk tapak pelupusan sampah tersebut.

“Selain itu, kita mahu teknologi baharu dipakai dalam pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah tersebut,” katanya.

Jagdeep (DAP- Datuk Keramat) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan H’ng Mooi Lye (DAP- JAWI) berhubung status pengoperasian Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Mengulas lanjut Jagdeep berkata, RFP bagi projek tersebut dijangka dibuka pada Jun 2023.

“Projek RFP ini juga selari dengan dasar Kerajaan Persekutuan iaitu pemilihan teknologi yang telah terbukti mampu bayar serta mesra alam,” katanya. – MalaysiaGazette