KUANTAN – Kerajaan Pahang bersetuju untuk menangguhkan penguatkuasaan terhadap petani yang mengusahakan pertanian di tanah rizab jalan di Cameron Highlands.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang berkata, penguatkuasaan hanya akan dilaksanakan ke atas kawasan ladang yang terletak dalam rizab sungai yang mana kawasan tersebut perlu dikosongkan.
Katanya, keputusan itu diambil selepas pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika lawatan Yang di-Pertuan. Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Cameron Highlands, baru-baru ini.
“Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memutuskan tindakan penguatkuasaan hanya akan dilaksanakan terhadap ladang di rizab sungai sebagai persediaan untuk projek menaik taraf sungai pada masa hadapan.
“Bagi ladang yang terletak di kawasan rizab jalan raya, Menteri Besar bersetuju untuk menangguhkan tindakan penguatkuasaan memandangkan petani Cameron Highlands berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu para petani di Blue Valley di Cameron Highlands diarahkan untuk mengosongkan sebahagian ladang mereka yang terletak di rizab jalan dan sungai dalam tempoh dua minggu oleh Jabatan Tanah dan Galian Pahang. – MalaysiaGazette