Jenin
Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Keputusan Amazon Web Service (AWS) membuat pelaburan sebanyak RM25.5 bilion di Malaysia kerana kepercayaan syarikat gergasi teknologi itu terhadap pentadbiran dan kestabilan politik di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan tersebut akan memberi impak tinggi kerana menambah keyakinan untuk kemasukan pelabur-pelabur asing baharu dari barat dan timur ke dalam negara.

“Tetapi khusus dalam konteks perundingan ini sejak Disember 2019, dan diteruskan. AWS menunggu sehingga mereka percaya kepada satu pentadbiran politik yang stabil, dasar dan arahan yang jelas.

“Ini yang akhirnya menyebabkan mereka menghubungi kami (Kerajaan Perpaduan) dan menyatakan kerana politik yang stabil,dan dasar ekonomi yang jelas telah menyebabkan AWS memilih Malaysia sebagai pengkalan mereka,” katanya dalam Dewan Rakyat ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang minta Perdana Menteri menyatakan apakah implikasi kepada ekonomi negara dengan komitmen pelaburan oleh AWS yang bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037.

Pada masa yang sama, Tze Tzin mahukan penjelasan berhubung Tesla yang telah menyatakan komitmen pelaburan ke
Malaysia, dan bagaimanakah perancangan selanjutnya oleh Kerajaan?

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata. pelaburan infrastruktur AWS dijangka bakal mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi dalam negara.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, pelaburan tersebut akan membawa akses kepada infrastruktur AWS bertaraf dunia dan program kemahiran digital ke Malaysia yang membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk berinovasi. – MalaysiaGazette