Amir Ghazali (kanan) dan Dr Lingkeshwaran dipilih sebagai Ahli Dewan Negara.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menamakan Pengarah Hospital Sungai Bakap, Dr A. Lingeshwaran dan ahli perniagaan Amir Md Ghazali sebagai Ahli Dewan Negara.

Usul itu dibentangkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota) dalam  sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini bagi mengisi kekosongan Lim Hui Ying dan Fadhlina Sidek yang meletak jawatan berkenaan pada 4 November tahun lalu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR- Pinang Tunggal) menyokong usul Kon Yeow sebelum ia diluluskan sebulat suara.

Kedua-dua mereka akan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri berkenaan untuk tempoh tiga tahun.

Menurut Kon Yeow, Lingeshwaran, 36, mempunyai kelulusan dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran Kesihatan pada 2022 di Universiti of New South Wales, Australia dan lulus dengan ljazah Sarjana Pengurusan dan Pentadbiran Kesihatan.

Katanya, pada Ogos tahun lalu Lingeshwaran dilantik sebagai Pengarah Hospital Sungai Bakap.

“Manakala Amir, 51, merupakan Pengarah Urusan Amghaz Resource Sdn Bhd yang beribu pejabat di Bandar Perda, Bukit Mertajam.

“Pada 2009, beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai selama enam penggal mewakili kuota Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang dan dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Nurul Izzah Anwar pada tahun ini,” katanya.

Semalam media tempatan melaporkan kira-kira 24 cawangan DAP Pulau Pinang berhimpun di hadapan ibu pejabat parti terbabit untuk menyatakan secara terbuka penolakan berhubung pencalonan Lingeshwaran.

Rata-rata yang berhimpun mendakwa Lingeshwaran hanya menyertai DAP empat bulan lalu dan tidak memberi sebarang sumbangan kepada parti selain mempersoalkan latar belakang keluarganya yang dikaitkan dengan MIC. – MalaysiaGazette