KUALA LUMPUR – Cadangan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mahu kerajaan mengkaji semula pemberian cuti sakit disanggah Menteri Sumber Manusia.

V. Sivakumar berkata, isu yang dibangkitkan itu seolah-olah mempertikaikan kewibawaan doktor dan mengabaikan kesihatan pekerja.

“Kalau kita lihat daripadai segi perundangan, seseorang yang sakit itu seharusnya diberikan cuti sakit. Ia diberikan oleh doktor yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Apabila kita mempersoalkan tentang isu ini kita seolah-oleh mempersoal kewibawaan doktor itu sendiri. Ini juga demi kebajikan dan kesihatan pekerja itu sendiri.

“Kita tidak boleh mengabaikan kalau seseorang pekerja itu benar-benar sakit tetapi dia tidak boleh cuti sakit. Itu akan menjadi satu masalah,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan, Presiden MEF, Datuk Syed Hussain Syed Husman berpandangan kemudahan cuti sakit wajar dikaji semula kerana ia membebankan majikan dari segi kos.

Syed Hussain mendakwa, majikan di Malaysia berdepan kerugian sekitar RM5.05 bilion kesan daripada pekerja yang mengambil cuti sakit.

Mengulas mengenai dakwaan kerugian yang dihadapi majikan selepas pelaksanaan ini, Sivakumar berkata, apa sekali pun akhirnya ia akan berbalik kepada status kesihatan pekerja.

“Kalau dikatakan jumlah RM5.05 bilion, memang  besar, saya faham. Tapi pada akhirnya bagaimana jika seseorang itu betul sakit tetapi doktor takkan beri cuti sakit.

“Kalau diminta untuk mengkaji semula, saya tidak tahu apa sebenarnya yang kita harus kaji semula. Kita nak kaji semula untuk memperketat syarat memberi cuti sakit?” soalnya.

Sementara itu, pakar perundangan, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod pula berkata, majikan boleh memohon untuk meminda cuti sakit pekerja sekiranya perkara tersebut adalah isu besar dan mendatangkan kerugian kepada syarikat.

Bagaimanapun, kata beliau, perkara tersebut perlulah seimbang tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette