Soffian (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dan ganja yang dirampas daripada pasangan suami isteri pada sidang media di IPD Timur Laut hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan seorang wanita meneruskan kegiatan pengedaran dadah yang dilakukan suami susulan lelaki itu menghidap sakit kronik membawa padah selepas mereka ditahan polis pada Ahad lalu.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menahan wanita berusia 42 tahun dan suaminya, 45, di sebuah rumah kampung di Batu Uban, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Turut dirampas dalam milikan mereka satu paket syabu bernilai RM31,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, berpandukan maklumat daripada wanita itu pihak polis menyerbu sebuah kondominium di Gelugor yang disewa pada kadar RM1,300 sebulan untuk dijadikan tempat pasangan itu membungkus dan menyimpan dadah pada jam 2.10 petang.

Soffian (kanan).

Jelas beliau, pemeriksaan dalam rumah tersebut membawa kepada penemuan dadah jenis syabu dan ganja yang bernilai RM251,464.

“Hasil siasatan mendapati pasangan ini aktif dalam pengedaran dadah sejak Jun tahun lalu namun disebabkan suami menghidap pelbagai sakit kronik kegiatan pengedaran diambil alih oleh isterinya.

“Siasatan juga mendapati pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata dan menggunakan motosikal untuk mengedar dadah di sekitar Pulau Pinang.

“Turut disita dalam serbuan itu, barang kemas bernilai RM12,800; kenderaan RM11,000 dan secara keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan berjumlah RM306,264,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut, hari ini.

Menurut Soffian, semakan rekod lampau mendapati pasangan itu masing-masing mempunyai satu rekod berkaitan dadah.

“Selain itu, ujian air kencing juga mendapati suspek lelaki positif dadah.

“Pasangan itu direman sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette