MAINPP.

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada penceramah bebas, Muhd Zainul Asri Mohd Romli kerana mendakwa sebuah masjid milik India Muslim di negeri ini, kini menjadi tempat ibadat orang bukan Islam.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Zainul Asri menerusi video kuliah yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok pada 14 Februari lalu mendakwa masjid milik India Muslim di negeri ini menjadi tempat ibadat orang bukan Islam selepas pemiliknya pulang ke India.

Jelas beliau, kenyataan itu dilihat mampu menimbulkan perbalahan antara kaum dan agama di negeri ini.

Zakiyuddin.

“MAINPP menafikan tuduhan liar berkenaan kerana secara fakta, merujuk kepada ‘Interim Register’ lot yang dimaksudkan terdapat 20 pemegang amanah asal bagi Kong Hock Keong Temple melalui Perintah Mahkamah (Peletakan Hak) Jilid 2, Fol. 61 pada 28 Disember 1973 yang seterusnya berlaku pertukaran pemegang amanah disebabkan kematian.

“Lot 523 ini adalah terbitan daripada Lot 71 (2) TS. 19, Daerah Timur Laut dan lot tanah itu berstatus ‘1st grade’ yang mana pada asalnya (rujukan Deed Poll bertarikh 10 Julai 1888), tanah itu dimiliki pemegang amanah berkenaan bagi Kong Hock Keong Temple No. 30 Pitt Street melalui Geran No 2420 tahun 1838.

“Selain itu, ia adalah pemberian daripada ‘The Public Seal of the Colony’ oleh Gabernor dan Komander Negeri-Negeri Selat iaitu Cecil C Smith,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Zakiyuddin, sehubungan itu, MAINPP menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Zainul Asri bagi menjernihkan persepsi negatif yang mula tersebar dalam kalangan umat Islam Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Masih x jls jawapan maipp tu.. blum dpt menyanggah kata2 ust zainul asri tu. MAIPP tlg jlskan.

Comments are closed.