Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPURĀ  – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 esok.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga bekas perdana menteri itu juga akan dituduh di bawah Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Terdahulu, Muhyiddin ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM hari ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes penyelewengan Jana Wibawa.

Dalam kenyataan petang ini, SPRM berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu telah ditahan pukul 1 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Muhyiddin ditahan selepas beliau hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.

“Sehubungan itu, SPRM juga telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023,” kata kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Muhyiddin akan didakwa esok- Azam Baki