PUTRAJAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) difahamkan akan dilepaskan dan tidak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin akan pulang selepas selesai disoal siasat SPRM.
“Insyaallah, Tan Sri Muhyiddin akan keluar selepas selesai disoal siasat,” katanya kepada media yang berkumpul di perkarangan SPRM, petang tadi.
Dalam pada itu, kenderaan yang dinaiki Muhyiddin sudah berada di pintu masuk ibu pejabat SPRM dipercayai menunggu beliau keluar.
Untuk rekod, setakat ini sudah empat jam Muhyiddin disiasat SPRM dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris memaklumkan media bahawa Muhyiddin akan berada lama di SPRM.
“Saya di fahamkan Muhyiddin akan mengambil masa yang lama di SPRM,” katanya kepada media.
Oleh yang demikan, semua kepimpinan PN akan ke markas Pas untuk solat hajat.
“Muhyiddin akan ke Taman Melewar sebaik sahaja selesai disoal siasat,” katanya.
Muhyiddin dilihat tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada jam 11.15 pagi tadi bagi memberi keterangan.
Terdahulu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menjangkakan bekas Perdana Menteri itu akan ditahan SPRM hari ini dan dihadapkan ke mahkamah esok.
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan. – MalaysiaGazette