Empat suspek yang ditahan kes membelasah seorang penghantar barang dengan helmet kerana perselisihan faham ditahan membantu siasatan polis. - Gambar ihsan IPD Ampang.

AMPANG – Seorang penghantar barang cedera dibelasah teruk empat suspek lelaki akibat perselisihan faham kerana masalah hutang.

Kejadian berlaku di Pangsapuri Sri Nilam di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, mangsa berusia 26 tahun itu telah didatangi empat suspek berusia antara 23 hingga 27 tahun.

“Kemudian berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek berkaitan hutang lama yang perlu dijelaskan mangsa kepada bekas majikannya.

“Tiba-tiba suspek memukul mangsa dengan topi keledar menyebabkan mangsa telah mengalami kecederaan parah di badan, kepala dan mata sebelah kanan sebelum lari menyelamatkan diri dan membuat laporan di Balai Polis Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, bertindak atas maklumat, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya (IPD) telah melakukan serbuan dan berjaya menahan empat lelaki di Ampang Selasa lalu.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati punca berlaku pergaduhan dan mangsa dibelasah berpunca daripada perselisihan faham kerana hutang lama dan ketika itu mereka meminum minuman keras.

“Hasil semakan lanjut polis juga mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah lampau tidak dikehendaki manakala tiga lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Kesemua suspek yang ditahan sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette