KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengambil rakaman percakapan pengarah dan seorang pelakon filem Mentega Terbang di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di sini.
Setiausaha PDRM Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, rakaman percakapan ke atas penerbit filem itu akan dilakukan pada Selasa ini.
“Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pengarah film itu, Khairi Anwar Jailani dan pelakon, Arjun Thanaraju berada di Bukit Aman untuk diambil keterangan.
Mentega Terbang yang menyentuh perbezaan dan persamaan agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan juga artis.
Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menyemak kandungan filem itu dan mendapati ia bertentangan akidah Islam. – MalaysiaGazette