KUALA LUMPUR – Armada Nasional (Armada) Bersatu akan memulakan jelajah rakyat (road show) untuk menjelaskan masyarakat mengenai apa yang berlaku ke atas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pengundi Perikatan Nasional (PN) dan rakyat perlu tahu Muhyiddin sedang menghadapi pertuduhan pemangsa politik.
“Kami akan memulakan roadshow untuk menerangkan perkara ini kepada pengundi kami dan rakyat Malaysia khususnya bahawa apa yang berlaku ketika ini adalah satu pertuduhan pemangsaan politik.
“Kalau kita lihat semua pertuduhan ke atas presiden kami di mahkamah semalam menimbulkan banyak persoalan atau tanda tanya.
“Antaranya seperti yang dijelaskan oleh Muhyiddin, beliau dipanggil pada Khamis dan disoal siasat berkenaan dengan pengecualian cukai untuk Yayasan Al-Bukhari tetapi pada hari yang sama difahamkan sudah ada keizinan waran menahan beliau.
“Persoalannya, baru dipanggil untuk soal siasat, sudah ada waran tangkap yang telah siap ditandatangani. Ini adalah satu siasatan yang tidak lengkap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Armada Nasional kali ke-4 2022 di Menara PGRM di sini hari ini.
Terkini, Muhyiddin yang merupakan Pengerusi PN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Muhyiddin, 76, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima rasuah dan dua pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah.
Sebelum ini juga, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang berusia 48 tahun itu juga mengaku tidak bersalah.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal percaya pertuduhan ke atas Muhyiddin dirancang lebih awal berdasarkan dalam siri ucapan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa akan ada kluster mahkamah baharu dari Bersatu.
“Dan ini terbukti apabila presiden kami (Muhyiddin) kena tahan dan didakwa di mahkamah. Mereka dari awal lagi sudah beri petunjuk.
“Ini yang kami persoalkan dan jangan samakan apa yang berlaku ke atas Datuk Seri Najib Razak. Isu utama yang menimpa Muhyiddin dan Bersatu ialah pendanaan politik,” katanya.
Beliau menjelaskan, sepanjang jelajah rakyat, Armada Nasional akan menjelaskan fakta yang mencurigakan itu dan mendakwa ada konspirasi politik ke atas Muhyiddin. – MalaysiaGazette
ko sibuk nak buat roadshow..dulu bukan korg ckp sapa2 yg sokong najib buat roadshow bodoh ke…buat roadshow nak sokong abah penyamun ke..hahahahaha
Kene batang idung sendiri kata mangsa politik. Sungguh suci puak2 hang!!!