Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas pemimpin DAP, Lim Guan Eng bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan mengenakan semula cukai dan cukai penalti ke atas Yayasan Albukhary.

Menurut bekas perdana menteri itu,  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada yayasan tersebut selepas Pakatan Harapan mentadbir negara pada Mei 2018.

Sebaliknya, LHDN di bawah kuasa Menteri Kewangan telah bertindak mengenakan semula cukai berserta 45 peratus cukai penalti terhadap yayasan yang dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

“Guan Eng merupakan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu.

“Oleh itu, beliau bertanggungjawab terhadap keputusan untuk mengenakan semula cukai dan cukai penalti 45 peratus ke atas Yayasan Al-Bukhary yang merupakan sebuah pertubuhan yang melakukan kerja-kerja amal Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin menjawab tuduhan Guan Eng yang mendakwanya berbohong apabila mengaitkannya dengan keputusan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.

Pengerusi DAP itu menafikan mengeluarkan sebarang arahan spesifik untuk membatalkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Albukhary.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional mendakwa, Guan Eng tidak menyentuh langsung intipati apa yang telah beliau katakan.

Beliau telah menerima surat rayuan daripada Yayasan Albukhary semasa menjadi perdana menteri dan telah dimaklumkan  pihak yayasan menerima pengecualian cukai untuk kerja-kerja amal Islam.

Pengecualian cukai tersebut diberikan di bawah Seksyen 127 (3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagaimanapun LHDN yang terletak di bawah kuasa Guan Eng sebagai Menteri Kewangan kemudiannya enggan memberikan pelepasan cukai tersebut.

Guan Eng sebelum ini meminta Muhyiddin menunjukkan bukti beliau telah mengeluarkan arahan sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, sekiranya Muhyiddin gagal berbuat demikian, beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang terhadap dakwaan yang disifatkan sebagai pembohongan oleh Ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Dalam satu kenyataan selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhyiddin mendakwa kerajaan PH telah membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang telah diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Muhyiddin berkata, beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan tentang perkara itu sebaliknya keputusan untuk menimbangkan rayuan yang dibuat oleh Syed Mokhtar itu diputuskan oleh Kementerian Kewangan dan LHDN.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Muhyiddin bohong kaitkan saya dengan arahan batal cukai Yayasan Albukhary – Guan Eng