Wan Saiful Wan Jan. Foto MUHD NA'M, 10 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – “Berbeza dengan saya, saya adalah Ketua Penerangan (Bersatu) yang dilantik, maka saya ada tanggungjawab untuk melepaskan jawatan.

“Tan Sri Muhyiddin (Yassin) pula dipilih oleh ahli (sebagai presiden) dan mereka menuntut dia kekal,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu,  Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan persidangan Armada Nasional dan Srikandi Muda hari ini yang sebulat suara mahu Muhyiddin kekal sebagai presiden walaupun Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menghadapi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Menurut Wan Saiful, kedudukan presiden akan kekal kerana Muhyiddin telah dipilih oleh ahli, katanya pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Nasional kali ke-4 2022 di Menara PGRM hari ini.

Sebelum itu, Wan Saiful dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah.

Mengenai kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim yang pihak berkuasa itu  sudah mengenal pasti penganjur dan beberapa individu yang menganjurkan perhimpunan solidariti untuk Muhyiddin di Putrajaya baru-baru ini, Wan Saiful berkata, belum ada pemimpin dan ahli dipanggil setakat ini.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada polis sekiranya pihak berkuasa mahu menyiasat.

“Kita serahkan kepada polis untuk buat siasatan. Saya pun tak ada maklumat lanjut mengenai perkara ini dan hanya mengetahuinya melalui media,”  ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak kesah la.. lantik ka.. dilantik ka.. letak jawatan tu lebih nampak jantan!!! Lemah

Comments are closed.