Rangkaian sindiket pemburu haram hidupan liar di Gua Musang, Kelantan ditumpaskan KDNKA, pasukan khas Bukit Aman. - Gambar ihsan Bukit Aman.

KUALA LUMPUR- Polis berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket pemburuan haram hidupan liar di sekitar Gua Musang, Kelantan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sindiket itu telah ditumpaskan oleh Pasukan Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang telah dilaksanakan pada 23 Februari lalu.

Pasukan khas itu menerusi hasil risikan dan maklumat yang  membuat serbuan di daerah Gua Musang dan menangkap empat suspek lelaki serta merampas pelbagai peralatan memburu termasuk bangkai haiwan.

“Dalam serbuan pertama telah berjaya menahan tiga suspek lelaki tempatan berusia di antara 34 hingga 42 tahun yang disyaki terlibat dalam pemburuan haram hidupan liar.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mereka pasukan polis merampas dua bahagian bangkai seekor Harimau Malaya tanpa kepala dan kulit serta tiga tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM303,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua suspek kemudian telah disiasat di bawah bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan telah dituduh di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 2 Mac lalu.

Rangkaian Sindiket pemburuan haram hidupan liar di Gua Musang Kelantan berjaya ditumpaskan KDNKA, pasukan khas Bukit Aman Fabruari lalu.Ihsan Bukit Aman

Tambah Noorsiah, dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dan telah dipenjara 10 bulan dan denda RM450,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda.

Kedua-dua suspek gagal membayar denda tersebut dan dipenjara selama 22 bulan oleh mahkamah manakala seorang lagi tertuduh mengaku tidak bersalah sebelum diberi jaminan RM30,000 dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 10 April 2023.

Susulan tangkapan ketiga-tiga suspek itu, polis berjaya mengesan seorang lagi suspek lelaki berusia 65 tahun yang juga pemilik senapang berlesen yang digunakan suspek untuk pemburuan haram.

“Suspek warga emas itu dicekup pada 27 Februari yang lalu dan hasil pemeriksaan ke atas suspek itu, polis berjaya merampas selaras senapang jenis Benelli, beg senapang, 28 butir peluru 12 bore, alat pembuka barrel, alat barrel extender dan buku lesen memiliki senjata yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM12,000,” ujarnya.

Kes berkenaan sedang dijalankan siasatan di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) serta Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960 (Akta 206). – MalaysiaGazette