KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau tidak akan menarik kenyataannya yang menuduh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin bahawa maklumat yang diterimanya berhubung perkara tersebut adalah sahih.
Muhyiddin menambah, Guan Eng sepatutnya menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku dalam isu tersebut kerana pembatalan pengecualian cukai dibuat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memberitahu, sekiranya pengecualian cukai itu dikekalkan, tiada keperluan bagi tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary untuk berjumpa dengannya dan seterusnya meminta pertimbangan daripada Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Saya tahu kenapa dia buat begitu sebab dia takut pembatalan dibuat ketika dia jadi Menteri Kewangan dan Yayasan Albukhary adalah di antara yayasan terbesar dipimpin oleh orang Melayu yang banyak menyumbang kepada ramai orang.
“Kemudian anda batalkan pengecualian cukai seolah-olah anda tidak mengiktiraf apa yang mereka lakukan kepada masyarakat, itu tidak bagus.
“Buat apa saya tarik balik kenyataan saya, ia kenyataan,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 di Dewan Wawasan, Menara PGRM di sini, hari ini.
Semalam, Guan Eng dalam satu kenyataan menuntut Muhyiddin meminta maaf atas tuduhannya itu selewat-selewatnya Rabu depan atau bakal berdepan tindakan saman jika gagal berbuat demikian.
Guan Eng mendakwa, Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dalam sidang akhbar di luar pejabat SPRM pada 9 Mac lalu.
Ahli Parlimen Bagan itu menafikan beliau mengeluarkan sebarang arahan khusus untuk membatalkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Albukhary yang dinaungi Syed Mokhtar. – MalaysiaGazette