Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mengulang amarannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memohon maaf berhubung isu pengecualian cukai membabitkan Yayasan Albukhary.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, Presiden Parti Bersatu itu dituntut berbuat demikian sehingga Rabu ini dan menarik balik kenyataan yang didakwa palsu itu.

Menurutnya, jika Muhyiddin gagal berbuat demikian, Ahli Parlimen Pagoh itu bakal berdepan dengan saman fitnah dan tuntutan ganti rugi.

“Muhyiddin harus mengemukakan surat pembatalan yang saya keluarkan atau meminta peguamnya menasihati dengan betul untuk mengelak daripada menghadapi prosiding sivil fitnah tidak perlu.

“Memandangkan jelas tiada surat pembatalan sedemikian, beliau harus memohon maaf dan menarik balik kenyataan palsunya, jika tidak berdepan dengan saman fitnah termasuk membayar ganti rugi.

“Muhyiddin mempunyai masa sehingga Rabu untuk memutuskan sama ada beliau mahu menghadapi prosiding mahkamah tambahan selain pertuduhan rasuah semasa terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa Guan Eng ketika menjadi menteri enggan meluluskan pengecualian cukai membabitkan Yayasan Albukhary.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, penafian Guan Eng hanya sekadar gimik politik kerana bimbang rakyat akan marah apabila mendapat tahu beliau membatalkan pengecualian cukai kepada yayasan yang banyak berjasa kepada orang Melayu.

Dakwaan Muhyiddin itu berdasarkan fakta selepas menerima maklumat daripada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang berjumpanya sebelum meminta Menteri Kewangan pada ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mempertimbangkan permohonan itu.

Sebelum itu, Guan Eng juga menegaskan, dakwaan itu hanyalah rekaan  tidak berasas dan cuba menghasut kononnya beliau telah bertindak terhadap sebuah yayasan kebajikan Islam.

“Kenyataan berbaur hasutan sebegini boleh menyemarakkan sentimen yang menjejaskan perpaduan kaum dan mengancam keharmonian agama,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan jika tiada arahan khusus bagaimana seorang menteri boleh bertanggungjawab ke atas setiap tindakan pelbagai agensi dan GLC di bawah bidang kuasanya.

“Jika itu berlaku, maka sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin harus bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan rasuah yang dilakukan oleh semua pegawai kerajaan di negara ini.

“Apa jenis logik sesat dan tidak bertanggungjawab ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Muhyiddin enggan tarik balik tuduhan terhadap Guan Eng