Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen mencadangkan supaya Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) mengambil semula pegawai-pegawai yang dibuang pada tahun 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, lebih 800 kakitangan kontrak J-KOM yang dikenali sebelum itu sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) telah dibuang.

Beliau berkata, adalah satu kerugian jika pengalaman dan kebolehan bekas pegawai berkenaan dibazirkan begitu sahaja.

“Kesan penutupan Jasa lebih 800 kakitangan secara kontrak ditamatkan dan hilang pekerjaan. Mereka ini bukan lantikan politik semata-mata tetapi majoriti mereka ada pengalaman puluhan tahun dalam bidang komunikasi dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Jamaluddin turut mencadangkan agar petugas dalam jabatan itu dilantik daripada pelbagai kaum sesuai dengan demografi rakyat di negara ini.

Ini agar kumpulan tersebut dapat menyampaikan dasar dan perkara yang berkaitan dengan kerajaan kepada kumpulan sasar masing-masing.

Sementara itu, Jalaluddin menegaskan, tugas, fungsi dan matlamat J-KOM di bawah pentadbiran kerajaan madani masih lagi kabur sama ada jabatan berkenaan akan bertindak sebagai suara kerajaan atau suara parti politik tertentu.

“Apabila kerajaan berubah dari PH ke Perikatan Nasional dan Keluarga Malaysia peranan dan fungsi J-kom ini tidak berapa jelas.

“Tidak terlalu menonjol untuk memberi penjelasan tentanng dasar dan perkara yang berkaitan dengan kerajaan

“Apakah peranan dan visi dan misi serta objektif yang ingin dicapai J-KOM dalam kerajaan Malaysia Madani? Akan jadi lidah rasmi kerajaan dan bukan jadi lidah rasmi parti?” tanya beliau.

Jasa dibubarkan pada pentabiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

Bagaimanapun ia dihidupkan kembali ketika Perikatan Nasional mengambilalih pentadbiran daripada Dr. Mahathir dan dijenamakan semula sebangai J-KOM.

Jabatan itu dikekalkan selepas Pakatan Harapan mengambilalih semula Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Februari lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Februari lalu.- MalaysiaGazette