PR1MA - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mulai tahun ini, penghuni Program Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA perlu menghadiri kursus pendidikan sivik sebelum penyerahan kunci.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu bertujuan memastikan kebersihan dan kemudahan kawasan perumahan terjaga.

Beliau berkata, kursus itu adalah tertumpu kepada usaha meningkatkan kesedaran penduduk mengenai hak dan juga tanggungjawab mereka.

“Apabila penghuni menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan, mereka juga perlu dididik dan disalurkan kesedaran tentang penjagaan kebersihan dan pemeliharaan kemudahan awam, yakni tidak merosakkan kemudahan atau mengotorkan tempat,” katanya.

Beliau dipetik China Press sebagai berkata demikian apabila menerima wawancara bersama media berbahasa Cina.

Kor Ming berkata, bangunan pangsapuri akan menjadi tidak terselenggara jika 10 peratus pemilik rumah tidak menjelaskan yuran penyelenggaraan.

“Disebabkan 10 peratus orang, sebanyak 90 peratus orang yang menuruti peraturan terpaksa menanggung akibatnya. Keadaan ini adalah tidak adil,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, beliau telah mengarahkan pasukan perundangan kementeriannya mengkaji kemungkinan meminda undang-undang supaya pengubahsuaian dan pembinaan semula dijalankan ke atas flat yang usang jika 70 hingga 75 peratus pemilik bersetuju berbuat demikian.

“Undang-undang semasa mengkehendaki persetujuan 100 peratus sebelum pembinaan semula boleh dijalankan.

“Bayangkan keadaan pada 50 tahun akan datang, Malaysia akan penuh dengan bangunan flat yang usang sedangkan semua orang mahukan kediaman yang selesa dan moden.

“Oleh itu, pindaan undang-undang adalah perlu, tetapi ia tidak boleh dilakukan dalam masa 100 hari sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast