Liew Chin Tong.-foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Syarikat Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad Proton (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua) masih pengeluar kereta nasional walaupun terdapat pegangan saham syarikat asing.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Liew Chin Tong berkata, kedua-dua pengeluar masih mematuhi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020).

Jelas beliau, di bawah NAP 2020 kriteria-kritera yang ditetapkan sebagai Malaysian Vehicle Project boleh dijadikan panduan mengenai status Proton dan Perodua sebagai pengeluar kereta nasional.

“Kriteria yang digariskan sebagai contoh adalah majoriti pemilikan tempatan, memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian pembekalan tempatan, menjalankan aktiviti R&D tempatan dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Chin Tong berkata, Proton telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 8,500 orang dengan 99 peratus adalah rakyat tempatan.

Selain itu, Proton telah melantik lebih 180 syarikat tempatan Tahap-1 dalam rantaian pembekalan keseluruhannya dan nilai purata perolehan tempatan adalah di antara 75 peratus sehingga 80 peratus terutamanya bagi model-model yang dibangunkan secara tempatan sepenuhnya.

Proton juga telah menjalankan aktiviti R&D tempatan bagi membolehkan Proton membuat platform, upper body dan enjin sendiri bagi model-model seperti Persona, Iriz, Exora, Saga dan pelbagai model lain sebelum ini.

Katanya, Perodua juga syarikat pengeluar kereta nasional yang memberi sumbangan kepada pembangunan ekosistem industri automotif tempatan seperti peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, pembangunan rantaian pembekalan tempatan dan R&D.

“Berdasarkan kepada sumbangan Proton dan Perodua kepada
industri automotif tempatan, kedua-dua syarikat masih diberi layanan sebagai pengeluar kereta nasional.

“Walau bagaimanapun, Proton dan Perodua hendaklah memastikan bahawa kriteria-kriteria yang digariskan di bawah NAP 2020 dipatuhi,” katanya.

Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (Petaling Jaya- PH) yang bertanya mengapa Proton dan Perodua diberikan layanan istimewa kerana pemilikan saham syarikat itu turut dikuasai pihak luar.

“Pengeluar kereta bermaksud syarikat yang reka dan menghasilkan kereta tapi kita semua maklum Proton hari ini hanya rebatch Geely dan perodua hanya mengambil platform Dihatsu.

“Jelas mereka bukan lagi pengeluar kereta nasional selepas Proton dimiliki oleh DRB Hicom dan Geeky dan sebahagian besar saham Perodua dikuasai Toyota

“Mengapakah selepas projek kereta nasional lapuk kita masih berpegang dasar kereta nasional yang dikuasai oleh syarikat swasta,” tanya Chean Chung.

Beliau mahu mengetahui sama ada kerajaan akan membuat dasar lebih terbuka dan komprehensif supaya industri automotif lebih kompetetif dan rakyat dapat harga menasabah.-MalaysiaGazette