PUTRAJAYA — Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataannya pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, Muhyiddin menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri mengeluarkan arahan pendakwaan terhadapnya dan menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mendakwa.
Tambah Muhammad Kamil, Muhyiddin juga mendakwa keputusan dibuat lebih awal oleh pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.
“Kita tampil membuat laporan polis pada hari ini terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau.
“Beliau (Muhyiddin) mendakwa pendakwaan ke atasnya adalah satu bentuk pemangsaan politik terancang.
“Kenyataan itu seolah-olah menggambarkan wujudnya campur tangan di peringkat yang tertinggi yang memberikan arahan kepada pihak penguatkuasa dan juga pihak pendakwaan.
“Kenyataan ini juga seolah-olah menunjukkan yang mereka (pihak penguatkuasa dan pihak pendakwaan) seolah-olah menjalankan tugas dan tanggungjawab bukan atas kerelaan tapi atas telunjuk dan arahan dari pihak tertentu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, petang tadi.
Menurut Muhammad Kamil kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional itu merupakan satu tohmahan untuk mencipta persepsi negatif terhadap kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Jelasnya, Anwar sudah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan diambil sekiranya terdapat bukti yang jelas berdasarkan fakta dan juga dapatan dari agensi-agensi penguatkuasa.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada laporan polis lain menyusul terhadap beberapa tokoh politik yang mengeluarkan kenyataan semberono. – MalaysiaGazette