Mohamad Norza Zakaria

PUTRAJAYA – Malaysia bakal menghantar 677 atlet (403 lelaki, 274 wanita) dan 237 pegawai ke Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh, Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.

Daripada jumlah itu, 390 atlet adalah di bawah Kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) manakala 287 dalam Kategori B (kos ditanggung persatuan dan dipulangkan jika menang pingat) dengan menyaksikan olahraga menjadi kem terbesar dengan penyertaan 65 atlet (34 Kategori A dan 31 Kategori B).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, berlaku peningkatan dalam penyertaan kali ini kerana pihaknya mahu memberi peluang kepada lebih banyak atlet muda dan pelapis sebagai pendedahan untuk Sukan SEA 2025 di Thailand dan 2027 di Malaysia.

“Kita berharap kebenaran yang diberikan dan pemilihan ini jangan dipersia-siakan kerana Sukan SEA menjadi medan pengenalan ke sukan antarabangsa sebelum mengintai peluang ke Sukan Asia dan Sukan Olimpik. Peluang ini harus direbut.

“Majoriti atlet akan beraksi dalam sukan berpasukan seperti bola sepak (40 atlet), hoki (60), badminton (20) dan floorball (40),” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman kontinjen dan penyerahan watikah pelantikan kepada atlet dan pegawai ke Sukan SEA Kemboja di sini semalam.

Temasya kali ini bakal menjadi penyertaan ketiga terbesar kontinjen Malaysia di luar negara dari segi saiz atlet selepas edisi 2007 Korat, Thailand yang disertai oleh 820 atlet dan edisi 2019 Filipina disertai oleh 772 atlet.

Saiz kontinjen terbesar Malaysia dalam sejarah Sukan SEA adalah pada edisi 2017 Kuala Lumpur, yang diwakili oleh 845 atlet dan 294 pegawai, manakala edisi lepas di Hanoi menyaksikan 584 atlet dan 272 pegawai mewakili negara.

Sementara itu, Mohamad Norza turut mencabar Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Mohd Nasir Ali untuk mencatatkan pencapaian lebih baik berbanding ketika beliau menjadi CDM temasya Singapura 2015, yang merupakan antara pencapaian terbaik Malaysia di luar negara.

Beliau berkata temasya kali ini bakal menjadi indikasi sebenar tahap atlet Malaysia pascapandemik COVID-19, selepas kebanyakan kejohanan antarabangsa ditangguh atau dibatalkan sejak awal 2020 hingga awal tahun lepas.

Kontinjen negara berjaya menuai 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa untuk berada di kedudukan keempat keseluruhan ketika itu, berbanding pencapaian di kedudukan keenam dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa di Hanoi, tahun lepas.

Mohd Nasir berkata, pihaknya mahu menjadikan temasya kali ini sebagai kesinambungan dari edisi Hanoi yang dianjurkan pada Mei lepas (2022), dalam memperbaiki pencapaian pingat dan kedudukan keseluruhan.

“Kita juga kehilangan beberapa pingat apabila acara yang berpotensi dalam sukan seperti bina badan, terjun, muay thai dan gimnastik sama ada tidak dipertandingkan atau dikurangkan acara pada kali ini,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast