Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR – Platform Malaysia@Heart atau MyHeart yang menyediakan pelbagai usaha memudahkan diaspora Malaysia dari luar negara untuk pulang berkhidmat kepada negara akan beroperasi 31 Mac ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, platform sehenti yang dibangunkan oleh TelentCorp itu merupakan strategi jangka pendek dan sederhana untuk membawa pulang bakat Malaysia di luar negara.

“Platform ini adalah satu pemudahcara bagi diaspora Malaysia mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan peluang pekerjaan, maklumat pasaran buruh, pendidikan untuk anak-anak, permit masuk pasangan dan anak-anak bukan warga negara.

“Serta memotivasikan kolaborasi dalam kalangan diaspora dan juga warganegara di Malaysia. Peluasan perspektif ini akan memotivasikan kitaran bakat dan tidak terhad kepada brain drain sahaja,” katanya.

Bercakap di Dewan Rakyat, Mustapha berkata, secara perbandingan, kadar migrasi Malaysia adalah 5.6 peratus daripada jumlah populasi negara atau 1.86 juta.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu seramai 1.13 juta atau 60.75 peratus berada di Singapura dan lebih 250,000 adalah merupakan bakat berkemahiran tinggi.

“Justeru itu, dalam membincangkan cabaran utama yang dihadapi oleh negara untuk membawa pulang dan mengekalkan bakat berkemahiran tinggi di dalam negara ini, fokus utama sewajarnya adalah untuk menguruskan aliran keluar bakat berkemahiran tinggi negara kita ke Singapura,” katanya.

Kedudukan Singapura yang berdekatan dengan Malayisa dengan tahap akses pengangkutan yang baik, kadar tukaran nilai matawang yang lebih tinggi serta ekosistem pasaran buruh yang kompetitif menggalakkan diaspora Malaysia untuk berhijrah ke negara jiran itu.

Tambah beliau, sejak tahun 2011 lebih dari 10,000 permohonan daripada diaspora Malaysia telah diterima oleh TalentCorp untuk kembali bekerja di Malaysia.

Lebih daripada 6,000 orang pakar telah diluluskan untuk kembali di bawah program ini.

“Jumlah pakar yang kembali ini, walaupun tampak kecil berbanding jumlah populasi diaspora Malaysia tetapi telah mewujudkan kesan limpahan ekonomi dan sosial yang signifikan kepada negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (Bayan Baru – PN) yang ingin mengetahui cabaran Talencorp menarik rakyat Malaysia kembali bekerja di tanah air.- MalaysiaGazette