Yoshikazu Higashitani

TOKYO – Seorang YouTuber yang menjadi ahli Parlimen akan menjadi wakil rakyat pertama Jepun yang ditendang keluar daripada Parlimen selepas gagal hadir sejak dia dipilih tujuh bulan lalu.

Yoshikazu Higashitani telah dibuang oleh Senat.

Beliau tidak pernah menghadiri sekali pun sidang Parlimen menyebabkan Jawatankuasa Disiplin Parlimen melucutkan statusnya.

Pemecatan itu adalah hukuman paling berat yang boleh diterima oleh penggubal undang-undang.

Ia pernah berlaku dua kali sejak 1950 dan ini adalah kali pertama seorang ahli Parlimen dipecat kerana tidak hadir secara berterusan.

Dewan ditetapkan untuk merasmikan keputusan itu lewat minggu ini.

Higashitani yang digelar ‘Ahli Parlimen Tidak Hadir’ dipercayai menetap di Emiriah Arab Bersatu.

Media tempatan melaporkan Higashitani enggan menghadiri Parlimen kerana bimbang akan ditangkap atas dakwaan penipuan, dan dakwaan fitnah daripada selebriti lain.

Minggu lalu, Parlimen telah menuntut Higashitani kembali ke Tokyo untuk menyampaikan permohonan maaf secara langsung di dewan atas ketidakhadirannya.

Penggubal undang-undang berkata, ia adalah peluang terakhir untuk beliau kekal sebagai ahli Parlimen.

Tetapi Higashitani gagal hadir pada sidang pleno.

Sebaliknya, beliau mengumumkan melalui saluran YouTubenya yang dia akan pergi ke Turki kerana sudah merancang untuk mendermakan gajinya untuk bantuan gempa bumi.

Ketiadaannya menimbulkan kemarahan Senat – yang ahlinya mengundi untuk dipecat minggu ini. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast