Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bercakap pada sidang media selepas Majlis 'Flag-Off' Misi Malaysia Everest 2023 di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 15 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini memperkenalkan Kod Sukan Selamat yang merangkumi aspek keselamatan gangguan seksual, buli dan keganasan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata kod itu akan menjadi panduan dan rujukan kepada semua komuniti sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab komuniti berkenaan secara menyeluruh.

Menurut beliau, ia juga berfungsi bagi mengukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan di Malaysia secara menyeluruh.

“Secara amnya, kod ini memberi tafsiran kepada jenis salah laku dalam sukan berpandukan kepada garis panduan antarabangsa dan undang-undang tempatan,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kod Sukan Selamat di sini hari ini.

Katanya lagi, antara fokus utama dalam kod sukan itu adalah membantu pengadu supaya mereka faham pihak mana yang boleh ditemui serta melaporkan kes.

Ia juga memudahkan badan sukan terbabit membantu bagi menyelesaikan kes.

“Kod sukan ini memberi tafsiran kepada jenis salah laku yang berlaku dalam sukan berpandukan kepada garis panduan antara bangsa dan undang-undang tempatan.

“Kita yakin perincian kepada kod salah laku ini akan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap gangguan dan penderaan dalam sukan.

“KBS telah melantik seorang pegawai pelindung yang juga seorang peguam berpengalaman dan pakar jantina, Melissa Akhir yang akan ditempatkan di Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memberi khidmat nasihat serta menjalankan program advokasi berkaitan sukan selamat,” ujarnya.

Sebanyak 31 badan sukan dan 16 jabatan serta agensi di bawah KBS hadir menandatangani perakuan sokongan kepada kod sukan itu yang berkuatkuasa 10 Mac lalu.

Perkara itu selaras dengan pindaan Jadual Kedua dan Ketiga, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Untuk makluman kod itu menerangkan peranan dan tanggungjawab kepada pemegang taruh seperti atlet, jurulatih, badan sukan, ibu bapa dan organisasi berkaitan sukan serta mekanisme pelaporan sedia ada yang boleh digunakan oleh semua penggiat sukan. -MalaysiaGazette