Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek diiringi Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali (dua kanan) menerima baju Sukan Nadi pada Majlis Pelancaran Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 di Auditorium Kompleks E, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 15 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum terhadap keluhan segelintir ibu bapa yang terbeban dengan kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek bagaimanapun berkata, isu itu harus dirujuk terlebih dahulu kepada pihak kantin dan sekolah kerana mereka yang menetapkan sesuatu harga berdasarkan perjanjian bersama.

“Isu tersebut sebenarnya adalah berdasarkan perjanjian dan garis panduan di antara pihak kantin dan pihak sekolah. Jadi mereka boleh rujuk daripada terma-terma itu mengikut perjanjian yang telah dibuat.

“Namun, KPM dari semasa ke semasa juga akan lihat kontrak dan terma antara pihak sekolah dan pihak kantin melalui garis panduan yang disediakan,” katanya.

Fadhlina Sidek

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Takwin Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2023 di sini hari ini.

Ulas Fadhlina, setakat ini, KPM tidak melihat ada keperluan untuk harga makanan di setiap kantin sekolah perlu diseragamkan kerana setiap kos bahan mentah bergantung kepada lokaliti setempat.

Mengulas mengenai Kod Sukan Selamat yang dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, Fadhlina memberitahu, KPM juga akan menjalinkan kerjasama bagi memastikan pelajar dilindungi ketika bersukan.

“Kita akan memeterai kod ini dengan KBS pada minggu depan dan ia akan terpakai untuk semua kejohanan sukan agar dapat memastikan pelajar dilindungi daripada mara bahaya seperti gangguan seksual, buli dan sebagainya.

“Intipati Kod Sukan Selamat ini adalah berdasarkan standard Olimpik dan merangkumi pelbagai aspek serta perlindungan termasuk peranan ibu bapa dan akses untuk membuat aduan sekiranya ada yang terlibat dalam gangguan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, peruntukan Belanjawan 2023 untuk KPM membaik pulih sekolah daif tidak akan dikurangkan selain turut memberi jaminan hasrat mencapai pendidikan berkualiti melalui sekolah yang selesa tetap menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette