KUALA LUMPUR- Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia bukanlah suatu hari yang patut diraikan tetapi merupakan hari untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia dan keperluan tindakan menangani isu Islamofobia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambahnya, Malaysia dengan sepenuh hati menyertai masyarakat dunia dalam memperingati hari berkenaan yang disambut setiap 15 Mac.
“Islamofobia dan semua tindakan kebencian serta keganasan terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan mesti ditolak.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa secara konstruktif dan kolektif bagi mencapai tujuan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Anwar, umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan Bulan Ramadhan yang penuh mulia dalam masa terdekat.
Justeru, setiap rakyat mesti mengamalkan kesederhanaan selaras dengan pelaksanaan Malaysia Madani dan menolak ideologi ekstremis sama sekali.- MalaysiaGazette