SHAH ALAM – Pembangunan Projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) bagi menyelaras pengurusan air secara holistik kini mencecah 40 peratus setakat 28 Februari lalu.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, projek infrastruktur inisiatif kerajaan negeri Selangor itu dijangka siap 80 peratus menjelang akhir tahun ini.
“Secara keseluruhan, prestasi kemajuan projek setakat 28 Februari 2023 adalah mencapai 40 peratus, manakala 80 peratus pula dijangka siap pada akhir 2023.
“Proses pembangunan projek infrastruktur di bawah SJAM melibatkan pelaksanaan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah kepada Menteri Besar berkenaan status terkini projek pembangunan SJAM.
Tambahnya, inisiatif SJAM yang melibatkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) adalah bagi memastikan kecukupan air mentah dari segi kualiti dan kuantiti untuk kegunaan domestik, industri, pertanian dan perikanan.
“Pengurusan Pembekalan Air oleh Air Selangor untuk memastikan semua rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat bekalan air bersih.
“Pengurusan atau perancangan tebatan banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Air Kumbahan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) / Indah Water Konsortium (IWK),” jelasnya.
Katanya lagi, perancangan di bawah SJAM turut merangkumi dua fasa iaitu menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor dan memastikan kecukupan air mentah dalam menghadapi musim kemarau.
“Di bawah Fasa 1, manfaat kepada rakyat adalah melalui konsep pembekalan air yang berterusan tanpa gangguan apabila pencemaran sumber air mentah dikesan berlaku di Sungai Selangor dan Sungai Langat.
“Loji utama seperti Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, Rantau Panjang dan Semenyih akan dihenti tugas apabila pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor dan Sungai Langat sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.
“Di bawah SJAM, apabila pencemaran dikesan, pengepaman dari kolam akan diaktifkan secara automatik untuk kegunaan loji rawatan air manakala air mentah yang tercemar akan dilencongkan terus ke hiliran sungai tanpa melalui loji rawatan air,” katanya.
Bagi Fasa 2 pula, Kerajaan Negeri menumpukan kepada Program Pengurusan Sumber Air secara holistik bagi memastikan simpanan air mencukupi untuk menampung permintaan pada ketika itu.
“Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah melaksanakan pembangunan inventori menyenaraikan semua kolam takungan dan tasik di Negeri Selangor.
“Semua kolam takungan dan tasik yang disenaraikan itu akan dimanfaatkan sebagai sumber air alternatif semasa musim kemarau selain dari kolam takungan di bawah Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sedia ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette