Teng Chang Khim

SHAH ALAM – Exco Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil & Sederhana negeri, Datuk Teng Chang Khim menegur dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak hadir pada sidang DUN Selangor hari ini.

Beliau membuat teguran itu kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) dan Datuk Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) ketika sesi penggulungan untuk menjawab soalan dibangkitkan pada perbahasan menjunjung Titah Ucapan Sultan Selangor.

“Saya amat kesal bila mereka mempersoalkan isu tertentu, tapi bila kita nak beri jawapan, dia tak ada.

“Bukit Antarabangsa juga datang sekejap lepas tu balik. Nak tunggu saya gulung tak sempat.

“Selepas itu pada sidang akan datang, dia akan ulang lagi isu yang sama, yang kita sudah jawab,” katanya pada sesi penggulungan Sidang DUN Selangor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Chang Khim menjawab pertanyaan dibangkitkan Sijangkang iaitu jumlah pelaburan diperolehi kerajaan Selangor sepanjang 2022.

Katanya, Januari hingga Disember 2022, sebanyak 265 projek perkilangan telah diluluskan iaitu berstatus projek baharu dengan nilai pelaburan RM12.21 bilion.

Kata beliau, daripada jumlah itu sebanyak RM4.64 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan RM7.57 bilion dari pelaburan asing.

“Bagi sektor perkhidmatan pula, jumlah keseluruhannya adalah RM47.9 bilion. Ertinya, jumlah pelaburan dalam dua sektor ini dan lain-lain yang diperolehi sepanjang 2022 berjumlah RM60.1 bilion.

“Ini meletakkan Selangor dalam kedudukan kedua berbanding negeri lain yang memperolehi jumlah pelaburan,” katanya. – MalaysiaGazette